KESAN COVID-19 SECARA UMUM

kesan penularan covid-19

PENULARAN WABAK COVID-19

Kesan penularan COVID-19 telah memberi impak kepada seluruh dunia termasuk Malaysia dari perbagai sudut terutamanya dari aspek ekonomi, kesihatan dan keselamatan.

Saya bukan pakar perubatan, saya bukan pemimpin kerajaan, saya bukan pihak berkuasa seperti polis, saya bukan ulama atau pakar agama dan saya juga bukan pakar ekonomi yang secara terus dapat memberi impak kepada keputusan sesebuah negara.

Terlalu banyak informasi yang dikongsikan melalui WhatsApp dan platform social media sehingga saya rasa kita semua telah mengalami ‘overloaded information’. Mana yang betul, mana yang palsu, mana yang penting, mana yang tidak penting semua informasi bercampur aduk dan boleh disalah tafsirkan oleh individu secara berbeza. Masing-masing berlumba-lumba ingin berkongsi informasi yang terkini sehingga ada yang mengambil kesempatan atas berita yang dikongsi.

Pada masa ini, banyak negara telah mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (Restriction Movement Order) dan Malaysia adalah satu daripadanya. Maka sudah tentu lebih banyak masa yang terluang digunakan untuk menjadi ‘wartawan sambilan’ dan tak kurang juga lebih suka menjadi ‘keyboard warrior’.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (RESTRICTION MOVEMENT ORDER)

Seperti yang kita semua tahu, Perintah Kawalan Pergerakan (RMO) ini merangkumi beberapa aspek kawalan pergerakan seperti:

  1. Larangan menyeluruh pergerakan/perhimpunan yang melibatkan ramai orang dan semua aktiviti keagamaan ditangguhkan.
  2. Penutupan kesemua institut Pendidikan, sekolah, taska dan asrama
  3. Sekatan sepenuhnya perjalanan rakyat Malaysia keluar negara dan pemeriksaan kesihatan serta kuarantin selama 14 hari perlu dilakukan bagi yang baru pulang dari luar nagara.
  4. Sekatan kemasukan pelancong dan pelawat asing ke dalam Malaysia.
  5. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting (essential services)

Pergerakan dari satu negeri ke negeri yang lain dan juga pergerakan keluar dari rumah ke sesuatu tempat juga perlu dikurangkan kerana kebarangkalian risiko penyebaran wabak dari suatu tempat ke tempat yang lain boleh berlaku

Infografik kredit : Jabatan Perdana Menteri

Kita semua tidak dapat menjangkakan bencana seumpama ini berlaku dan inilah pertama kali seluruh dunia terpaksa ‘berperang’ dengan Virus!

Panik dalam segala hal berlaku dimana-mana. Pelajar-pelajar yang berada di asrama, di IPTA/IPTS pastilah risau apabila sekolah dan IPTA/IPTS tutup. Pastilah hati terarah ke kampung masing-masing tanpa menyedari risiko penyebaran wabak ini. Sebagai ibubapa pula, makan minum anak-anak dan perbelanjaan harian menjadi kerisauan utama mereka oleh itu perasaan tersebut adalah semulajadi.

Tetapi saya tidak bersetuju apabila ramai juga yang membuat ‘Panic buying’ di merata Hypermarket dan supermarket kerana mereka membuat pembelian berganda melebihi apa yang mereka perlukan. We are not at war people!  Tindakan ini juga akan menyusahkan pembeli yang lain apabila keperluan harian tidak dapat diperolehi atau kehabisan stok disuatu kawasan dalam tempoh tersebut.

Panic buying’ ini juga adalah sesuatu yang ‘selfish’ kerana mereka yang mempunyai keupayaan membeli yang tinggi dapat berbuat demikian manakala mereka yang masih menunggu gaji bulanan atau pendapatan bulanan hanya akan menunggu sehingga bekalan baru di ‘re-stock’.

Rujukan dari Jabatan Perdana Menteri

Diy1

PERKHIDMATAN PENTING NEGARA (ESSENTIAL SERVICES)

Penutupan semua premis, kedai-kedai dan pejabat-pejabat kerajaan serta swasta memang memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat. Perniagaan dan pekerjaan dari sector perlancongan dan berkaitan hospitaliti adalah yang paling terkesan.

kewangan

Inforgrafik kredit: Majlis Keselamatan Negara

Perkhidmatan penting atau Essential Services adalah seperti yang telah kerajaan maklumkan antaranya adalah melibatkan kesihatan, kewangan, pertahanan, pengangkutan, bahanapi, gas dan utility negara seperti air dan elektrik.

Saya bersyukur, tugas saya sebagai perancang kewangan dapat saya lakukan dirumah secara ‘online’ dan kaedah ‘work-from-home’ sudah beberapa tahun saya lakukan seperti aktiviti konsultansi dan perbincangan. Namun, ada aktiviti lain yang tergendala seperti ‘business travelling’, temujanji, latihan, mesyuarat dan ‘social visit’ dengan pelanggan mahupun ‘stakeholders’.

Pengalaman dan tugas saya dalam sector kewangan dan pengurusan sedikit sebanyak membuatkan saya suka ‘ambil peduli’ kesemua aspek informasi yang sahih supaya bermanfaat untuk menambahbaik pengetahuan saya dalam mengendalikan tugas saya.

covid19

Inforgrafik kredit : KPDNHEP

Pada akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020 ini, saya ada menjalankan kursus pendek dan perbincangan sosial berkaitan dengan dunia digital kepada sekumpulan konsultan kewangan. Saya menekankan bahawa jangkaan saya pada tahun 2020 ini merupakan penggunaan era ‘Dunia Digital’ secara besar-besaran bagi mencapai zaman I.R 4.0. (Industrial Revolution 4.0). Ini sangat penting bagi sesiapa yang mahu bergerak ke hadapan secara lebih inovatif. 

Sesiapa yang tidak mahu ambil peduli atau ‘malas’ untuk menggunakan kaedah ini akan ketinggalan dalam pelbagai sudut. Ada juga mereka yang mengambil sikap ‘nanti lah dulu’ atau merasakan ‘tidak mengapa’ disebabkan mereka sudah berada dalam keadaan selesa dari segi kewangan dan kedudukan mereka selama ini.

Ada juga mereka yang merasakan ‘IT savvy’ ni adalah untuk golongan muda dan agak komplikated untuk mereka belajar.  Walaubagaimanapun, dalam kursus pendek saya, mereka telah membuktikan bahawa umur bukanlah alasan atau halangan bagi mereka kerana ilmu digital ini sangat menarik.

Jangkaan saya itu seperti ‘benar-benar terjadi’ walaupun dalam keadaan dunia ditimpa wabak Covid-19. Penggunaan ‘online business’, ‘Zoom meeting’, ‘e-classroom schooling’, ‘Work from home’, ‘e-wallet’, ‘online transaction’, ‘e-commerce shopping’ dan ‘e-food delivery’ kesemuanya digunakan secara berleluasa dan pengendali yang terlibat memerlukan pengetahuan dalam bidang digital yang padu.

MORATARIUM ATAU BANTUAN KEWANGAN MALAYSIA

Saya telah diajukan oleh beberapa pelanggan berkenaan informasi yang ditularkan berkenaan moratarium ini dan bertanyakan berkenaannya. Moratarium secara definisi yang mudah adalah penangguhan sementara sesuatu aktiviti secara rasmi yang digunakan untuk menangani sesuatu isu sehingga isu tersebut selesai. Biasanya marotarium ini dilaksanakan oleh kerajaan sesebuah negara atau dalam perniagaan.

Dalam menangani isu penularan Covid-19 di Malaysia melalui Kementerian Kewangan, pelbagai perlaksanaan bantuan digunakan bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat yang terkesan akibat wabak ini. Antaranya ialah moratarium pembiayaan oleh kebanyakan bank bagi menangani isu para pelanggan mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Kebanyakan bank-bank ini akan membenarkan penangguhan bayaran ansuran pinjaman atau pembiayaan para pelanggan mereka sepanjang berlakunya bencana Covid-19 biasanya dalam jangkamasa 3 bulan dan 6 bulan. Dalam jangkamasa yang dipersetujui itu, pelanggan boleh menangguh atau menstruktur semula ansuran pembiayaan mereka mengikut kemampuan mereka tanpa dikenakan caj tambahan atau penalti lewat bayar.

Rujukan Islamik bank-bank yang terlibat.

KEPERLUAN MEMOHON MORATARIUM PEMBIAYAAN

Apakah perlu kita mengambil peluang memohon moratarium ini?

Jawapan saya kepada sesiapa yang bertanya amatlah jelas dan mudah. Permohonan ini perlu bergantung kepada keperluan individu atau sektor yang terlibat. Ada dua (2) keadaan yang mungkin berlaku.

  1. Individu yang dari sektor swasta yang terjejas oleh krisis ini dan ‘dipaksa’ bercuti tanpa gaji atau dipotong gaji oleh majikan mereka. Namun ini tidak ‘dibenarkan’ berlaku oleh pihak kerajaan dan memastikan pihak majikan terus membayar gaji penuh sepanjang tempoh kuarantin.
  2. Perniagaan Bersaiz Kecil dan Sederhana (Small Medium Enterprise) yang terjejas dengan Covid-19 dimana mereka tidak dapat meneruskan perniagaan mereka sepanjang tempoh kuarantin ataupun pengurangan aktiviti perniagaan yang melanda sektor perniagaan mereka.

Saya lebih melihat keperluan bagi mereka yang dalam keadaan kedua (2) kerana ramai yang terkesan dengan bencana Covid-19 adalah terdiri dari peniaga kecil seperti di pasar malam, pasar pagi, gerai makan kecil, mereka dalam sektor perlancongan, agensi perlancongan dan juga kontraktor-kontraktor kecil. Industri ‘Home-base’ seperti pembuat kek atau tempahan baju juga terkesan dalam keadaan ini.

Bagi mereka yang tidak terkesan oleh perkara 1 dan 2, seperti penjawat awam dan swasta yang masih dalam sektor ‘industri perlu’ (essential industry) tidaklah perlu untuk memohon tawaran ini. Selagi tidak mendatangkan impak yang besar dalam situasi kewangan kita, menangguhkan ansuran atau penstrukturan semula pembiayaan bukan keperluan utama. 

Ini adalah kerana penangguhan atau penstrukturan semula pembiayaan ini hanya akan menambah jangkamasa hutang kita mungkin dari 10 tahun ke 12 atau 15 tahun, kecuali selama ini kita berdepan dengan masalah kewangan yang serius.

Rujukan dari Bank Negara Malaysia

IMPLIKASI YANG MUNGKIN DALAM SEKTOR PEKERJAAN

Dalam membincangkan isu mereka yang dalam keadaan pertama (1) tadi, kita perlu fikirkan juga, jika majikan perlu membayar gaji kesemua pekerja sepenuhnya. Dalam keadaan dimana tiada produktiviti atau kurang produktiviti untuk jangkamasa yang tiada kepastian lagi setakat ini.

Adakah pihak majikan boleh mengekalkan perbelanjaan ‘manpower overhead’’ sehingga momentum produktiviti pulih seperti sediakala? Majikan juga perlu memikirkan perbelanjaan yang lain seperti ‘Capital Expenditure’ dan ‘Operating expenditure‘ . Pelan kontigensi perlu dilakukan bagi menangani isu ini.

Adakah akan berlaku Retrenchment, ‘Voluntary Separation Scheme’ (VSS) atau ‘Mutual Separation Scheme’ (MSS) oleh banyak syarikat swasta selepas bencana ini? Kemungkinan berlaku hanya bergantung kepada kepada aliran tunai dan kestabilan kewangan syarikat masing-masing serta jangkamasa krisis ini berakhir.

Saya pernah berada dalam ‘committee‘ yang terlibat dalam menentukan senarai VSS pekerja syarikat sebelum ini. Bagi saya ia bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dilakukan oleh sesebuah organisasi kerana pemilihan dibuat dari segi analitik dan subjektif.

Namun begitu harapan saya lebih kepada pengakhiran yang cepat dan kesemua industri yang terlibat dapat memulihkan produktiviti atau perkhidmatan mereka lebih baik dari sebelum krisis covid-19 ini.

Majlis kolaborasi I.R 4.0 pada tahun 2017

Bagi pekerja-pekerja dari sektor yang terlibat diharap sentiasa bersabar, berusaha menjadi seorang yang lebih produktif dan inovatif dari sebelumnya. Berusaha untuk meningkat skill, lebih kompeten, sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan sentiasa percaya rezeki itu ada dimana-mana. Allah sentiasa ada.

Pandangan saya ini mungkin boleh diterima oleh sebahagian masyarakat sahaja, tetapi ia mungkin boleh difikirkan oleh individu yang terlibat. Pengalaman yang sedikit dalam sektor kewangan dan dibahagian perancangan sumber manusia selama 20 tahun secara keseluruhannya mungkin sedikit sebanyak dapat memberi idea kepada sesiapa sahaja yang sudi. Saya juga tidak mahu komen terlalu jauh dari segi ekonomi kerana ia akan menjadi terlalu teknikal dan detail.

HIKMAH DARI BENCANA PENULARAN COVID-19

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, begitu juga dengan bencana yang dihadapi satu dunia ini. Kadangkala saya rasa, ‘the nature cannot cope damages that human have done to themselves anymore’ (Alam semesta sudah tidak boleh menampung lagi kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri)

Disebalik bencana kesihatan ‘bertaraf’ dunia ini, terlalu banyak juga hikmah yang kita dapat dari wabak yang melanda ini diantaranya adalah seperti :

  1. Dunia, tidak mengira negara, bangsa dan agama ‘terpaksa’ bersatu melawan penularan Covid-19. Masing-masing berganding bahu cuba untuk mengadakan langkah-langkah keselamatan untuk mengawal penularannya. Negara-negara besar yang sebelum ini berlumba-lumba mencipta senjata nuklear, sekarang kerjasama untuk mencipta vaksin kepada penyakit ini.
  2. Hampir kesemua negara dapat melupakan sementara pertelingkahan yang berlaku antara mereka walaupun tidak secara menyeluruh.
  3. Pertelingkahan di Malaysia dalam krisis politik terutamanya, tidak pernah berkesudahan. Walaubagaimanapun, ini dapat diabaikan oleh rakyat kerana rasanya rakyat sudah muak dan ingin fokus kepada kemajuan dan masalah negara.
  4. Perbezaan ideologi politik antara ahli politik juga perlu dilupakan sementara (atau selamanya) bagi bekerjasama menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi negara kerana rakyat sudah lebih matang dan bijak.
  5. Umat Islam berasa sedih apabila masjid-masjid yang ada didunia ini kesemuanya tidak dapat dihadiri oleh jemaah untuk menunaikan solat. Sebelum ini, kita ‘sengaja’ mengabaikan solat jemaah di masjid-masjid walaupun ada 5 waktu solat sehari sebab masing-masing sibuk dengan urusan dunia.

    Foto kredit : Mingguan Wanita

  6. Pertama kali Masjidil haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa, terpaksa dikosongkan bagi tujuan pembersihan sehinggakan hampir semua negara tidak dibenarkan beribadah di sana. Tapi pernahkah kita terfikir ada golongan yang selalu mempermainkan rumah Allah ini dengan perbuatan yang sungguh keji dan kotor . Inilah peringatan supaya apa yang berlaku pada kaum nabi Luth tidak berlaku pada kita.
  7. Selama ini kita kurang masa bersama keluarga dan anak-anak. Mungkin inilah peluang mengambil lebih masa untuk merapatkan kembali hubungan keluarga. Hargailah masa bersama anak-anak dengan lebih baik. Menghabiskan masa dengan aktiviti bersama keluarga. Kalau sebelum ini kita ‘kaki ngeteh’ atau menghabiskan masa diluar rumah sampai ke pagi. Ini lah masanya kita ‘dikurung’.
  8. Kita dapat bersolat jemaah dengan keluarga dirumah. Sebelum ini tidak pernah menjadi imam, mungkin masa ini lah kita tunjuk skil menjadi imam. Kalau tidak pernah masak, mungkin cuba tunjuk skil masak.
  9. Pusat-pusat hiburan haram serta pusat kegiatan maksiat lumpuh sementara dan harap-harap terus dihapuskan.
  10. Mendekatkan kita kepada yang Maha Pencipta dan rasa muhasabah serta bertaubat atas apa juga kesalahan yang kita telah lakukan atau mungkin sentiasa lakukan samada dengan sengaja mahupun tidak.

Wallahualam.

Nurin Hamid

 

One Response

  1. I think this is one of the most vital information for me. And i’m glad reading your article. But should remark on few general things, The web site style is ideal, the articles is really excellent : D. Good job, cheers|

Leave a Reply

Share via
Copy link