BELANJAWAN 2021 – PELUANG YANG ADA

Topik belanjawan ini masih lagi menjadi perbualan yang hangat semasa naskah ini ditulis. Pada hakikatnya, pada tahun ini 2020, hari hari yang lalui agak sukar bagi kebanyakan rakyat marhaen dan setiap perbelanjaan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Kebiasaan bukan lagi biasa dan ketidakbiasaan sudah menjadi biasa. Namun, kita tetap akan berhadapan dengan 2021 jika umur masih panjang. Sebaiknya, kita tak perlu merungut dan mengeluh. Apa yang penting, setiap yang dilakukan perlu perancangan.

Salah satu topik hangat adalah pengeluaran akaun 1 i-Sinar Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (“KWSP”) bagi memberi alternatif keberlangsungan hidup kepada ahli yang telah hilang punca pendapatan, pekerjaan dan pengurangan gaji.

Kita boleh memulakan perancangan dan menggunakan pengeluaran dengan berhemat di awal tahun 2021. Walau bagaimanapun, mungkin satu-satunya ‘tabung’ persaraan kita akan berkurangan. Ini kerana, dengan sendirinya kita akan mengurangkan tabung ini yang biasanya memberi kadar purata dividen sebanyak 4-5% setahun sehingga mencecah umur 55 tahun. Walaupun begitu, jika perancangan yang bijak dilakukan kemungkinan pulangan dari pengeluaran ini membuahkan hasil yang lebih baik. 

KWSP juga menimbangkan pengeluaran Akaun 2 kepada ahli untuk membeli produk takaful/insuran bagi perlindungan diri dan penyakit kritikal. Peluang ini juga harus direbut bersesuian dengan risiko semasa yang setiap individu hadapi.

Sebagai tambahan, terdapat kenaikan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000.00 kepada RM8,000.00, serta perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh daripada RM500.00 kepada RM1,000.00.  Begitu juga dengan had perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas, dan penjagaan ibubapa kepada RM8,000.00 daripada RM5,000.00.

Kerajaan juga membuat penambahan perlindungan sosial kumpulan B40 dengan menyediakan pemberian baucar RM50.00 untuk membeli produk perlindungan diri dan takaful hayat.

Inisiatif melalui bajet ini menunjukkan perlindungan kesihatan, pelan persaraan dan jaminan simpanan daripada pendapatan yang adalah penting bagi individu. Rakyat yang sihat mencerminkan Negara yang Makmur. Singapura telah lama menyediakan pelan kos perubatan dihari tua kepada pekerjanya melalui Central Provident Fund (“CPF”). Ini menunjukkan negara-negara maju menjadikan pelan kesihatan atau perubatan rakyat adalah elemen utama yang diperlukan dalam setiap pekerja yang bekerja apabila mereka menghadapi masalah kesihatan. Kita yakin kerajaan mempunyai perancangan untuk kearah negara maju dan sebahagiannya melalui badan seperti PERKESO.

“Tiada seorang pun yang akan tertinggal.” Kenyataan Perdana Menteri ini mungkin agak menenangkan rakyat apabila gelombang ketiga pandemik covid-19 melanda negara, Kita mengharapkan agar semua inisiatif Belanjawan 2021 ini dapat membentuk plan ‘pemulihan selepas pandemik’ terutamanya dalam bidang teknologi dan innovasi.

Dalam pelan Belanjawan 2021 juga menunjukkan kerajaan melalui kementerian akan terus berusaha untuk menyediakan peruntukan kewangan yang kondusif untuk pelbagai sector terutamanya kesihatan. Keutamaan yang kritikal adalah menyediakan vaksin covid-19 kepada rakyat Malaysia, terutama mereka yang dibarisan hadapan.

Namun apa yang lebih menarik minat ramai adalah peruntukan-peruntukan bagi kebanyakan tulang belakang ekonomi negara seperti pengusaha kecil dan sederhana (PKS). Salah satu inisiatif, peruntukan untuk PKS dalam skim Geran Pendigitalan SME dan juga peruntukan PKS yang lain. Syarikat-syarikat yang baru bermula adalah digalakkan untuk merebut peluang keemasan ini (peruntukan RM150 juta disediakan). RM4.6 billion disediakan melalui pembiayaan untuk peningkatan keupayaan dan peningkatan kapasiti usahawan Bumiputera melalui institusi-institusi kewangan.

Syarikat-syarikat yang baru bermula yang dikaitkan dengan bidang berasaskan teknologi biasanya kurang mengalami tekanan bagi menghasilkan produk atau servis baik kerana industry ini mempunyai permintaan yang tinggi ini. Oleh kerana itu, RM150 juta telah diperuntukkan untuk latihan, bantuan jualan dan peralatan digital dibawah e-commerce.

Inisiatif lain yang berkaitan juga disediakan dibawah Janakerja ialah ‘reskilling dan upskilling’ dengan memperuntukkan RM100 juta untuk program latihan dan kerja secara usahasama  dengan majikan swasta. Disamping itu, baucer RM3,000 bagi graduan baru untuk menghadiri kursus-kursus pensijilan professional di universiti awam dan swasta.

Pada masakini, peluang-peluang perniagaan telah diperluaskan skopnya bagi memenuhi keperluan semasa, dengan itu pihak kerajaan telah menambah baik RM300 juta Program Jana Niaga untuk pembayaran digital rantaian bekalan untuk PKS yang menyediakan bekalan untuk kerajaan. RM2.5 billion pula adalah peruntukan projek-projek kecil dan sederhana untuk kontraktor-kontraktor class G1-G4 bagi memberi peluang kepada yang menceburi perniagaan di dalam bidang pembinaan dan bekalan.

Pengecualian cukai sebanyak RM1,000 untuk latihan juga telah diperkenalkan sebagai timbal balik pembelanjaan asas yang ditanggung untuk menghadiri kursus-kursus profesional ini. Apa yang sering diperhatikan, syarikat-syarikat PKS tidak  mempunyai Plan Perniagaan yang menyeluruh beserta pengurusan risiko. Sehubungan dengan itu, latihan yang sesuai harus disyorkan supaya mereka dapat menghasilkan keluaran yang optimum, kos operasi yang munasabah dan keuntungan yang baik.

Setiap perniagaan memerlukan modal yang bersesuaian baik dari segi modal insan, tenaga ataupun kewangan. Maka, unjuran kewangan boleh menggunakan inisiatif yang diperuntukan dalam Latihan. Setelah itu, pendekatan yang baik dapat menghasilkan aktiviti perniagaan yang produktif dari segi, R&D yang innovatif, kualiti produk yang optimum dengan kos operasi yang boleh dilaksanakan.

Pembiayaan untuk pertumbuhan terus dipertingkatkan di dalam peruntukan PKS dengan RM2 bilion diberikan di bawah bentuk pinjaman daripada institusi perbankan.

Namun terdapat keluhan dari kumpulan yang disasarkan ini tentang berapa sukarnya untuk mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan baru. Terdapat terma dan syarat yang ketat dan mustahil untuk dipenuhi sebelum pinjaman diluluskan. Sehubungan dengan itu, kerajaan disarankan dapat melonggarkan syarat-syarat ini bagi memudahkan proses berkenaan diluluskan supaya tujuan dana manfaat yang disasarkan dapat dilaksanakan.

Hidup mengandungi siri risiko yang kalkulatif. Segala sesuatu yang kita lakukan dan putuskan margin berisiko. Ia bergantung kepada sama ada kita mengambil sebahagian risiko, mengelak; atau menerima risiko. Kehidupan yang kita lalui bergantung kepada pilihan dan takdir. Risiko adalah kebarangkalian atau kemungkinan berlakunya sesuatu yang tidak dijangka dan tidak diingini. Mungkin hari ini risiko yang diketahui adalah kemungkinan kita dijangkiti virus covid-19 apabila keluar dari rumah!

Mungkin ramai yang tahu melalui 4 cara, mengelak, mengurangkan, berkongsi dan pemindahan risiko. Salah satu cara pengurusan risiko ialah dengan memiliki takaful atau insurans. Ini adalah kerana pelan ini akan memindahkan potensi kos kerugian kepada pengendali takaful atau syarikat insurans. Pengendali atau Syarikat insurans ini akan membuat pelaburan yang selamat dan menguntungkan, supaya bermanfaat kepada pemegang pelan tersebut. Seperti yang kita tahu, pelan kesihatan adalah yang paling digemari rakyat Malaysia.

Secara amnya mereka yang berani mengambil risiko bagi mencapai matlamat masing-masing memerlukan keberanian bagi menempuh ketidaktentuan dan cabaran. Pengalaman melalui cabaran ini membuat sesorang itu lebih kuat dan tabah.

Masa depan kita bergantung kepada bagaimana kita merancang strategi hari esok dimana ianya bermula dengan hari ini. Diharapkan kita semua dapat memanfaatkan inisiatif Belanjawan 2021 bagi pemulihan ekonomi negara.

Leave a Reply

Share via
Copy link