PENGURUSAN HARTA PUSAKA
(BAHAGIAN 1)
Kebelakangan ini, perkara berkaitan pengurusan harta pusaka menjadi salah satu topik yang ‘trending’ di mana-mana social media dan ‘digital media’. Saya juga agak terkedu bila beberapa personaliti masih muda di Malaysia meninggal dunia secara tiba-tiba tanpa penyakit yang sedia ada.
Mereka yang berpenyakit, Allah masih panjangkan usia, yang dah tua pula, Allah masih panjangkan usia, yang banyak dosa, Allah masih panjangkan usia (cermin diriku sendiri sebenarnya) 😭😭😭. Itulah antara tanda-tanda akhir zaman yang disebut oleh para ulama dan cendekiawan Islam, manusia mati secara tiba-tiba.
Di sini saya rasa ingin kongsi sedikit ilmu yang boleh kita sama-sama belajar dan ambil tahu. Pada mereka yang sudah tahu, mungkin lebih pakar, pada yang kurang tahu, mari kita sama-sama ambil tahu. Tetapi yang tak berminat inginn tahu, terpulang lah kan seperti orang kata ‘Kubur pun masing-masing’.
Apabila matinya anak Adam diatas bumi ini, hal-hal yang perlu diselesaikan adalah mengikut turutan berikut perlu diselesaikan oleh waris yang bertindak sebagai Pentadbir atau wasi:
- Pengurusan JENAZAH simati
- Penyelesaian HUTANG-HUTANG simati
- Pengurusan HARTA PUSAKA bermula dengan pembahagian pesanan simati, pembahagian wakaf, infaq atau wasiat kepada yang bukan waris simati
- BAKI HARTA PUSAKA diselesaikan secara faraid atau atas muafakat kesemua waris-waris lain yang masih hidup.
Kali ini, saya tidak akan bercerita tentang FARAID dan pembahagiannya secara terperinci kerana saya hanya ingin berbincang tentang isu dahulu.
WARIS ADALAH ANAK BAWAH UMUR
Kalau diikutkan banyak perkara-perkara dan isu-isu yang diluar jangkaan semasa kita hidup boleh berlaku atau boleh timbul selepas kematian seseorang. Salah satu yang ingin saya kongsikan adalah berkenaan waris yang paling terkesan apabila seseorang itu meninggal dunia adalah anak-anak yang masih kecil atau dibawah umur 18 tahun.
Hal ini telah banyak diabaikan secara hukumnya dan diambil mudah oleh ramai yang bertindak sebagai ‘pemegang amanah’ sedangkan kita perlu tahu bahawa anak-anak ini adalah anak-anak yatim atau yatim piatu. Walau bagaimanapun inilah topik yang agak menarik untuk dibincangkan.
Jika seseorang itu mati dan meninggalkan anak-anak yang masih bawah umur, 2 perkara yang harus kita selesaikan untuk menjaga kebajikan anak-anak ini iaitu, hak penjagaan mereka dan hak pengurusan harta mereka.
HAK PENJAGAAN
Hak penjagaan dan didikan anak-anak adalah dibawah tanggungjawab ibu dan sebelah ibu.
Contohnya, sekiranya bapa mereka meninggal dunia, maka hak penjagaan mereka automatic jatuh kepada ibu mereka. Namun jika ibunya pula meninggal dunia, hak penjagaan mereka dibawah tanggungjawab sebelah ibunya, iaitu nenek sebelah ibu atau adik beradik ibu nya dan sebaik-baiknya perempuan.
HAK PENGURUSAN HARTA
Hak pengurusan dan pemegang harta anak-anak ini adalah ayah dan sebelah ayah sehingga mereka mencapai umur 18 tahun.
Contohnya, sekiranya ibu mereka meninggal dunia, maka hak pengurusan bahagian harta mereka automatik jatuh kepada ayah. Namun, jika ayahnya meninggal dunia, datuk mereka sebelah ayah atau adik beradik ayahnya yang lelaki akan bertindak sebagai pengurus atau pemegang amanah harta anak-anak ini sehingga umur mereka 18 tahun.
Pemegang amanah ini perlulah menggunakan harta tersebut untuk kebajikan dari segi kewangan dan perbelanjaan mereka sehingga mereka boleh mengurus kewangan atau harta tersebut iaitu sebaik-baiknya melepasi 18 tahun.
Namun, pemegang amanah ini dibolehkan mengambil sedikit upah memadai untuk perbelanjaan mengurus mereka. Pemegang amanah juga boleh menyimpan atau melaburkan harta tersebut untuk tujuan mendapat keuntungan yang perlu diserahkan kepada mereka apabila mencecah 18 tahun.
“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri)”. (Al-An’am: 152 dan Al-Isra’:34)
Ayat yang hampir sama diulang dua (2) kali dalam dua (2) Surah yang berbeza. Ini melambangkan betapa harta anak-anak yatim perlu lah diurus sebaik-baiknya untuk mengelak kemurkaan Allah. Bagaimanapun, ada beberapa keadaan hak pemegang amanah ini boleh diserahkan kepada ibu anak-anak yang kematian ayah.
- Jika ayah mereka sudah meninggalkan pesanan berbentuk ‘legal document’ (seperti wasiat) yang melantik ibu mereka sebagai pemegang amanah harta untuk bahagian anak-anak ini.
- Jika sebelah arwah ayah ini, contohnya datuknya, ingin menyerahkan hak urusan harta anak-anak yatim ini kepada si ibu supaya urusan kebajikan dan perbelanjaan mereka lebih mudah
- Jika si arwah ayah ini mempunyai anak yang telah berusia 18 tahun maka anak ini boleh menjadi pemegang amanah bahagian harta adik-adiknya yang belum mencapai 18 tahun. Ini lebih memudahkan urusan ibu tadi.
PEMEGANG AMANAH
Maka, jika kita diamanahkan menjadi pemegang amanah jalankan lah tanggungjawab tadi sebaiknya dan yang bukan hak kita serahkan la pada yang berhak. Namun jika rasa tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu maka, serahkan la pada yang lebih mampu menjalankan amanh tersebut.
Sebagai ibu-ibu yang mendapat hak penjagaan anak-anak dan juga sebagai pemegang amanah harta mereka pula perlulah berhati-hati dalam menguruskan harta mereka. Mungkin dalam fikiran ramai ibu yang menjaga anak-anak yatim ini (walaupun anak kandung), “ini anak-anak aku, jadi harta mereka yang ditinggalkan ayah mereka adalah harta aku juga”. Sebenarnya SALAH!
Bahagian harta isteri yang kematian suami hanyalah 1/8 dan baki adalah hak waris-waris suami yang lain termasuk anak-anak yang mempunyai bahagian mereka. Bahagian anak-anak ini perlulah digunakan untuk perbelanjaan yang berkaitan dengan kebajikan dan urusan harian mereka. Perbelanjaan sesukahati untuk kepentingan diri siibu tadi adalah salah.
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala”. (An-Nisa’:10)
Fahamilah, Pemegang Amanah harta bukan Perampas Harta anak-anak yatim.
PENAMA DAN PENERIMA HIBAH
Perkara terakhir yang ingin saya bincangkan disini juga berkenaan meletakkan penama dalam dalam dokumen aset seperti Takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji.
Dalam dari segi istilah, tugas penama adalah untuk menjalan kan amanah supaya jika berlaku kematian kepada pemilik aset tersebut, penama-penama didalam dokumen itu perlulah menyerahkan bahagian asset tersebut mengikut faraid. Aset itu bukan lah hak penama tersebut secara hakiki.
Sebaliknya penerima hibah atau penama hibah adalah individu atau entiti yang akan menerima manfaat terus dari aset-aset yang telah dinamakan setelah kematian pemilik aset itu. Aset itu adalah menjadi hak penerima hibah tersebut.
Sebenarnya, terlalu ramai yang meletakkan nama anak-anak mereka yang dibawah umur sebagai penama atau penama hibah dengan alasan supaya, bahagian itu akan terus diserahkan ke anak-anak tadi. Namun itu tidak berlaku, bahagian tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad yang bertindak sebagai pemegang amanah sehingga mereka mencecah umur 18 tahun. (Rujuk Schedule 10 Islamic Financial Services Act 2013)
“JANGAN JADIKAN HARTA PUSAKA HARTA PUAKA!”. Memang berhantu!!